Sunday, 28 May 2017

Akhbar milik MCA digesa mohon maaf kepada seluruh umat Islam

AKHBAR harian The Star digesa meminta maaf kepada seluruh umat Islam di negara ini kerana menyiarkan tajuk berita utama berkenaan 'pengganas' disertai dengan gambar umat Islam sedang bersolat terawih di halaman muka depannya bertarikh 27 Mei 2017.

Meskipun tajuk berita tiada kena mengena dengan gambar tersebut, ia boleh menyebabkan orang ramai  tersalah tafsir apa yang disiarkan akhbar The Star seolah-olah merujuk pengganas kepada orang Islam dengan meletakkan kedua-dua berita dan gambar tersebut dalam satu muka surat besar di halaman depan.



The Star sebagai salah satu akhbar 'senior' berbahasa Inggeris utama di Malaysia sepatutnya lebih peka dengan sensitiviti di negara ini yang majoriti rakyatnya beragama Islam lebih-lebih lagi dengan banyak insiden keganasan yang terjadi di luar negara kini.

Tambahan pula umat lslam  menyambut hari pertama bulan ramadan, bulan mulia umat lslam.

Sama ada penyiaran muka depan akhbar itu disengajakan atau tidak, saya menggesa pengarang The Star untuk meminta maaf dengan seluruh umat Islam dan berjanji akan lebih sensitif dalam menyampaikan berita bagi mengelakkan tercetusnya ketegangan dalam komuniti berbilang kaum di negara ini lebih-lebih lagi memberi persepsi yang salah tentang agama Islam.

Saya juga menggesa pihak berwajib yang bertanggungjawab untuk melakukan pemantauan dalam memastikan tiada berita yang boleh mencetuskan kemarahan mana-mana agama dan kaum disiarkan.

Sesungguhnya media yang merupakan medium penyampaian berita memainkan peranan yang sangat penting dalam
menyampaikan laporan yang tepat dan tidak mengelirukan kepada rakyat.

SHAHAR ABDULLAH
KETUA PEMUDA UMNO PAHANG
28 Mei 2017

*** Akhbar The Star dimiliki oleh Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA)

Akhbar The Star buat provokasi terhadap Umat Islam di Bulan Ramadan

KETIKA hari pertama umat Islam menyambut bulan yang penuh berkat dan keampunan iaitu bulan Ramadan tahun 2017, Akhbar berbahasa Inggeris The Star milik Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) dilihat dengan sengaja mencetuskan provokasi terhadap umat Islam.

Tindakan akhbar milik parti komponen Barisan Nasional itu yang meletakkan gambar jemaah sedang sujud menunaikan solat di dalam sebuah masjid di bawah tajuk berita tidak berkaitan "Malaysian Terrorist Leader" merupakan satu provokasi strategik.


Akhbar milik MCA jelas sekali sengaja menaikkan kemarahan umat Islam di seluruh negara melalui provokasi berstrategik tersebut. Akhbar itu seolah-olah mahu menggambarkan bahawa amalan menunaikan solat berkait rapat dengan aktiviti keganasan.

Ini menunjukkan bahawa MCA memang sudah tidak ada lagi semangat hormat-menghormati di antara rakyat dan bangsa berbilang kaum di negara ini sekaligus mengabaikan kontrak sosial yang selama ini menjadi penentu perpaduan negara sejak merdeka.

Tindakan ini jelas sekali tidak boleh dimaafkan. Pengguna media sosial terutama di Facebook dan Twitter telah melancarkan kempen boikot besar-besaran terhadap akhbar The Star milik MCA ini.

Selain itu orang ramai juga digesa untuk membuat laporan polis terhadap kebiadaban akhbar ini yang secara terang-terangan melakukan provokasi strategik untuk menghina dan menyakitkan hati umat Islam negara ini.

Siapa pun anda dan di mana jua anda berada, Jika anda mengaku sebagai seorang Islam ayuh kita sahut seruan boikot secara besar-besaran akhbar milik MCA yang biadap ini.

Jika anda seorang peniaga surat khabar, simpan akhbar ini di tempat yang tertutup supaya tidak dapat dilihat oleh orang ramai sekaligus membuatkan ia tidak laku.

Jika anda pelanggan tetap akhbar The Star, batalkan langganan anda dan jangan beli akhbar ini lagi di masa hadapan. Belilah akhbar lain yang tidak kurang hajar dan biadap seperti ini.

Thursday, 18 May 2017

Perkasa soal pendirian kerajaan tentang hubungan MCA dan Parti Komunis China

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (PERKASA) sebuah badan pendesak Melayu meminta Putrajaya menjelaskan pendiriannya terhadap parti-parti politik tempatan yang mempunyai hubungan dengan Parti Komunis di luar negara selepas Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) membentuk kerjasama dengan Parti Komunis China (CPC).



Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata pertubuhan itu akan mendesak penjelasan menerusi surat rasmi kepada beberapa agensi-agensi kerajaan minggu hadapan.

"Kami mahu mereka menyatakan apakah pendirian mereka dalam hal ini, apakah terma dan syaratnya. Bolehkah sebuah parti tempatan membentuk hubungan dengan parti Komunis dari luar negara?" soalnya dalam satu sidang media.

Ibrahim turut menggesa parti pemerintah Barisan Nasional menjelaskan terma-terma dalam memorandum persefahaman (MoU) yang dilapor telah ditandatangani oleh BN dan CPC pada tahun 2010 yang lalu.

Menurut Ibrahim, Perkasa akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri berhubung perkara itu.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kerjasama ini (di antara MCA dan Parti Komunis China) dan ini mencabar orang Melayu dan Islam," katanya sambil menekankan bahawa ideologi Komunis tidak percaya kepada agama.

Menurutnya, membenarkan kerjasama dengan Parti Komunis dari luar akan membangkitkan semula gerakan komunis dalam Malaysia, kerana bekas ahli-ahli Parti Komunis Malaya (PKM) masih lagi ada di dalam negara.

Ibrahim juga turut memberi amaran bahawa langkah itu akan dijadikan contoh kepada parti-parti tempatan lain untuk mengadakan kerjasama dengan parti-parti luar yang mempunyai pelbagai ideologi.


"Nanti kita akan ada organisasi Islam yang mempunyai hubungan dengan Timur Tengah dan ini akan timbulkan pelbagai masalah," katanya.


Sumber — The Malay Mail Online

Tuesday, 16 May 2017

Saman 'gambar seksi' bukti Hukum Syariah akan dikenakan ke atas orang bukan Islam — MCA Kelantan

DAKWAAN Parti Islam SeMalaysia, (PAS) kononnya hukum Syariah tidak akan dikenakan kepada orang-orang bukan Islam adalah satu pembohongan. Buktinya seorang peniaga di Kelantan telah dikenakan tindakan saman kerana menayangkan gambar seksi kata Setiausaha Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) Kelantan, Datuk Lua Choon Hann.

"PAS telah menunjukkan pembohongan yang selalu diulang selama ini kononnya enakmen hudud Kelantan tidak akan dikenakan kepada orang bukan Islam,"


"Pada 27 Julai yang lalu satu saman telah dikeluarkan terhadap satu perniagaan yang beroperasi di tingkat bawah Pasaraya Kota Baru kerana melanggar ketetapan MBKB (Majlis Bandaran Kota Baru) berhubung (gambar seksi)," kata Lua Choong Ham dalam satu kenyataan yang dipetik oleh akhbar The Star milik parti itu.

Menurut Lua Choong Ham lagi, ini membuktikan bahawa kerajaan negeri Kelantan sengaja menyasarkan orang-orang bukan Islam sebagai golongan yang suka melanggar peraturan.

Beliau yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa penasihat ekonomi MCA Negeri Kelantan menegaskan bahawa parti komponen Barisan Nasional itu mahu memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa pindaan rang undang-undang Jenayah Syariah (RUU355) yang diusulkan oleh presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang akan mengakibatkan hilangnya perlindungan terhadap orang bukan Islam yang selama ini diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Tiada apa lagi dapat menghalang penggubal undang-undang untuk mencadangkan perlaksanaan undang-undang dan hukuman hudud dikenakan ke atas orang bukan Islam seperti yang telah berlaku di Aceh Indonesia," katanya lagi sambil merujuk pelaksanaan undang-undang syariah di Aceh membenarkan hukuman rotan di khalayak ramai kepada orang-orang bukan Islam atas kesalahan menjual dan mengambil minuman keras termasuk berjudi.

Sumber — The Star

MCA mahu semua kerusi dipinjamkan kepada parti Melayu dipulangkan

PARTI Persatuan Cina Malaysia (MCA) mahu semua kerusi-kerusi yang dipinjamkan kepada parti Melayu Umno dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu dipulangkan semula kepada parti itu.


Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai selepas menyampaikan sijil VTAR Institute dalam majlis graduasi para pelajar institusi itu.

"Pendirian kita ialah mana-mana kerusi yang pernah dipinjamkan kita akan ambil semula," katanya.

Antara kerusi yang dipinjamkan kepada parti Melayu Umno adalah kerusi Wangsa Maju, Kuantan dan Gelang Patah. Kerusi itu bagaimanapun akhirnya jatuh ke tangan parti pembangkang.

Sejak pilihan raya umum dalam tahun 2008 lagi MCA telah kalah teruk dalam banyak kerusi-kerusi yang ditandingi oleh mereka. Parti yang dianggotai oleh orang-orang cina itu langsung tidak mampu lagi membantu Umno melalui Barisan Nasional bagi mengalahkan pembangkang.

Kemenangan Barisan Nasional membentuk kerajaan Malaysia adalah dari hasil titik peluh Umno sendiri. Dalam erti kata lain tidak ada gunanya lagi MCA berada di dalam barisan nasional kerana parti itu langsung tidak membantu Umno.

Namun nampaknya Presiden MCA masih lagi bernafsu besar untuk mendapatkan kembali kerusi yang pernah diberikan kepada parti Melayu Umno sebelum ini. 


Monday, 15 May 2017

DAP akan hilang undi cina kerana lebih banyak bantu Melayu — MCA Pulau Pinang

PENGERUSI Persatuan Cina Malaysia (MCA) Pulau Pinang, Tan Teik Cheng dilaporkan berkata bahawa Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan kehilangan undi orang-orang Cina kerana mereka lebih banyak membantu orang-orang Melayu di negeri itu.


Menurut Tan, Masyarakat Cina di Pulau Pinang kini terabai, kerajaan negeri yang dipimpin oleh di DAP lebih banyak memberikan bantuan kepada masyarakat Melayu berbanding masyarakat Cina.

"DAP sudah jadi sombong, dan mereka tidak buat apa-apa kerana mereka fikir mereka sudah terjamin untuk mendapat undi daripada masyarakat Cina," 

"Pengundi Cina kini sudah mula sedar perkara ini dan oleh itu perubahan akan berlaku tidak lama lagi," kata Tan kepada wartawan seperti yang dipetik oleh portal News Straits Time

Menurut Tan lagi, bangsa Melayu di negeri itu telah menerima lebih banyak bantuan daripada kerajaan negeri, termasuklah peruntukan untuk kemajuan Islam, kerja kosong dan juga kuota perumahan.

Dakwanya lagi, beliau tidak bersifat perkauman namun sekadar menyatakan kebenaran.

"Sejak dari tahun 2008 sehingga 2015, kerajaan negeri (pimpinan DAP) telah menganugerahkan 94 peratus projek pembangunan kepada syarikat-syarikat Melayu,"

"Di antara tahun 2009 dan 2014, kerajaan di DAP telah memberikan sebanyak RM450 juta peruntukkan untuk Kemajuan Islam,"

"Sejak tahun 2008 sehingga 2014, daripada sejumlah 8,346 peluang kerja di jabatan kerajaan, hanya sebanyak 220 diisi oleh bangsa Cina," kata Tan.

Malah Tan turut mendakwa, kuota perumahan juga diberikan lebih kepada bangsa Melayu sebanyak 42 peratus.

Sebagai perbandingan katanya, kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah menetapkan kuota rumah untuk Bumiputera hanya pada 30 peratus dan hanya sebanyak RM12 juta sahaja diberikan kepada pembangunan agama Islam setiap tahun.

Menurut Tan, kejayaan parti Cina MCA pimpinannya di Pulau Pinang akan menentukan prestasi parti itu di negeri-negeri lain. 

"Pencapaian MCA di Pulau Pinang akan menjadi barometer untuk ketahanannya kerana ini merupakan negeri yang mempunyai majoriti orang-orang Cina," kata Tan.

Beliau berharap masyarakat Cina di Pulau Pinang akan memberikan undi kepada parti Cina MCA pada pilihanraya umum yang akan datang.

Sunday, 14 May 2017

Hubungan MCA dan Parti Komunis China ancaman kepada negara

SAYA menyambut baik dan menyokong laporan akhbar di Sinar Harian tulisan tokoh wartawan Negara A Kadir Jasin, berjudul "Bahaya terlalu rapat dengan China."



2) Beliau memberikan beberapa fakta yang sangat relevan agar kita sama-sama perhalusi dalam keadaan politik negara yang semakin rapuh. Antaranya adalah jalinan kerjasama terus antara MCA (Persatuan Cina Malaysia), dan Parti Komunis China (CCP).

3) MCA dan CCP (Parti Komunis China) berikrar, akan mempertingkatkan perkongsian pengalaman di kalangan pemimpin kedua-dua buah parti. Sepanjang mengikuti perkembangan isu One Belt One Road (OBOR) beberapa tahun lepas di surat khabar milik MCA, The Star, (anda boleh melihat laporan khusus mengenai isu ini, tidak di akhbar lain) perhubungan politik MCA dan CCP dilihat terlalu akrab, ibarat abang dan adik.

4) Campur tangan China secara terus dengan menggunakan MCA sebagai pembantu. Hal ini boleh diperhatikan melalui tindakan Duta China, Huang Hui Kang melawat Petaling Street pada 29 September 2015 bagi melindungi kepentingan peniaga-peniaga China di sana. Turut mengiringi beliau pada waktu lawatan itu adalah Datuk Ang Say Tee, beliau merupakan pengerusi Persatuan Peniaga & Penjaja Kuala Lumpur dan pernah memegang jawatan Timbalan Pengerusi MCA Ampang.

5) MCA bersama China Economic Cooperation Centre menganjurkan dialog yang dihadiri peniaga daripada China dan Malaysia seramai 250 orang. Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai, Setiausaha MCA, Ong Ka Chuan dan Zhou Li, Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) adalah antara yang hadir pada majlis itu.

6)Anda boleh memerhatikan pola isu di berita, dengan melihat apa perkembangan terkini yang MCA cuba lakukan, bukan dari sudut ekonomi sahaja malahan jauh sehingga kepada pendidikan dan juga budaya. Anda boleh lihat sendiri di laman rasmi MCA. Antaranya:

i) Malaysia working to get SPM Chinese paper recognised by CHINA. – The Star.

ii) KUALA LUMPUR: MCA will push for the Public Service Department (JPA) to recognise degrees and higher education programmes offered by over 800 universities in China, which are accredited with the Malaysian Government Qualifications Agency (MQA). – The Star

Its Youth chief Chong Sin Woon said this was the second step towards recognising the certificates that would pave the way for more Malaysians studying abroad.

"In 2005, there were only 600 Malaysian students in China and the numbers increased to almost 7,000 last year."

iii) MCA: Maintain ' CHINA town' – The Star

iv) MCA Youth-Scholarships to study TCM in CHINA – The Star

v) CHINA groups plan international schools in M'sia – The Star

vi) "When we touch on the topic of One Belt One Road, the emphasis is usually on economy, politics, and other topics, but not culture and arts," she said.

vii) Malaysia to send troops for CHINA 's military parade commemorating WW2 anniversary – The Star

viii) Connectivity with CHINA a priority – The Star

viiii) 'High time to implement visa-free entry for CHINA tourists'

7) Persoalan yang terbesar yang kita boleh tanyakan adalah, apa sebenarnya yang MCA telah lakukan? Tuntutan-tuntutan ini adalah tuntutan yang besar. Apakah yang akan dikongsi oleh MCA kepada CCP? Sudahkan MCA jelas dengan garis panduan diplomasi oleh kementerian luar negeri? Atau bergerak secara silo dan sendiri sehingga boleh mengabaikan kedaulatan negara?

8) Kerajaan harus memandang serius terhadap usaha ini, jangan hanya melihat kepada keuntungan ekonomi semata-semata. Dengan pentadbiran sedia ada, tuntutan ini berjalan bagai tiada henti. Jangan sampai tiba pada satu titik ianya tidak dapat diberhentikan.

Berhati-hati, jangan terlalu rapat dengan China. Ada titik pemisah yang perlu kita fahami dalam diplomasi.

Asyraf Farique
Penganalisis IRIS INSTITUTE

Thursday, 11 May 2017

Parti Islam, PAS tidak berterima kasih kepada pengundi cina kata Presiden MCA

PRESIDEN Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Liow Tiong Lai melabelkan Usul Persendirian PAS (RUU355) sebagai satu pengkhianatan kepada masyarakat Cina yang telah mengundi parti itu pada pilihanraya umum yang lalu.



Parti Islam itu katanya, tidak berterima kasih kepada pengundi-pengundi Cina, yang telah menyokongnya ketika ia merupakan sebahagian daripada Pakatan Rakyat.

"PAS tidak pernah berterima kasih kepada orang-orang Cina, sejurus selepas meraih sokongan (pada pilihanraya umum lepas) dia mahu melaksanakan hukum Hudud," katanya ketika menyampaikan ucapan di Kampung Baru Jerlun dalam lawatan seharinya semalam.

Beliau turut memberitahu penduduk kampung agar tidak mempercayai Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang telah mengelirukan masyarakat Cina untuk mengundi PAS, menurut Liow parti itu kini cuba lari dari tanggung jawabnya.

"Mereka kata sudah putus hubungan dengan PAS, tapi di Selangor masih ada tiga Adun Pas sebagai Exco kerajaan negeri," katanya.

Liow juga menggesa para pengundi untuk menolak calon Amanah dalam pilihan raya kecil kerana parti itu merupakan potongan daripada baju yang sama dengan PAS, tambahnya lagi matlamat kedua-dua parti itu adalah untuk menukar Malaysia kepada negara teokratik.

"Tidak ada fraksi liberal dalam Amanah mahupun PAS. Yang satu 'extreme' satu lagi jauh lebih 'extreme'," katanya.

Satu undi kepada calon Barisan Nasional Mastura Mohd Yazid, akan menghantar mesej yang kuat kepada PAS dan amanah bahawa masyarakat Cina menolak polisi ekstremis seperti Hudud PAS tambahnya.

Liow kemudiannya bertemu dengan pengundi di sebuah kedai kopi berhampiran, dan merasmikan satu majlis perasmian dewan komuniti yang diminta agar dibina untuk kampung tersebut oleh MCA.

Beliau bersama-sama ketua MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon membuat satu lawatan mengejut sebuah rumah di Bukit Merchu milik Duong Thi Ngo, 38 yang tidak mampu mendapatkan rawatan untuk tulang retak kakinya selepas terlibat dalam satu kemalangan.

Liow berkata kepada keluarga Duong, seorang warga Vietnam, memerlukan bantuan dan beliau telah meminta pemimpin-pemimpin MCA di Kuala Kangsar untuk membantu mereka.

"Saya sudah beritahu mereka untuk membawanya ke hospital Ipoh untuk memeriksa kembali keretakan tersebut. Suami Duong beritahu kita bahawa ia tidak boleh sembuh kerana ligamen dan tulang-tulang telah rosak,"

"Saya beritahu mereka untuk dapatkan pendapat kedua, kita juga akan membantu keluarga tersebut dari segi kewarganegaraan Kerana duong telah tinggal di sini lebih 8 tahun,"

"Jika dia dapat taraf penduduk tetap, Duong layak menerima bantuan kerajaan," katanya lagi.

Meluahkan keyakinan bahawa undi undi akan pergi kepada Barisan Nasional kali ini, menurut Liow Kuala Kangsar adalah tempat istimewa di hatinya kerana isterinya berasal dari sini.

"Saya pernah datang sini (Bukit Merchu) sebelum ini. Isteri saya (Datin Seri Lee Sun Loo) dari Kuala Kangsar dan saya banyak kali datang ke sini,"

"Bagi saya ia bagaikan balik kampung. Saya sentiasa berhubung dengan orang-orang di sini dan tinggal di sini sentiasa berasa tenang,"

Laporan ini disiarkan dalam portal rasmi Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) di bawah tajuk — Islamist party ungrateful to voters, says MCA chief